Agama disebar Nabi Muhamad dirasai asing jika tiada iltizam
FAKTOR
Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa sejak dibawa oleh
Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW 1,441 tahun lalu hingga hari ini
sangat menarik untuk diperhati dan dikaji.
Bahkan ia
tidak saja bermula dari zaman Baginda Rasulullah tetapi bermula sejak
seruan pertama Nabi Nuh seperti diungkapkan al-Quran yang bermaksud:
"Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya
aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang
nyata. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepada-Nya, serta
taatlah kamu kepadaku." (Surah Nuh: 2-3)
Perhatian dan
kajian saksama diperlukan kerana dengan memahami ajaran Islam yang
satu-satunya ajaran Ilahi yang ditujukan kepada umat jin dan manusia,
maka kehidupan manusia akan berjalan seperti yang dikehendaki oleh Allah
SWT.
Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: "Apa yang
kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu
menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan
sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan
amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (Surah Yusuf: 40) Ayat sama
juga boleh dibaca pada Surah al-Rum ayat 30.
Faktor
Islam dalam kehidupan masyarakat antarabangsa adalah faktor dagang,
asing, janggal, aneh atau pelik, oleh itu dalam kedagangan, keasingan,
kejanggalan, keanehan dan kepelikan itulah keberuntungan berada. Imam
Muslim meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: Bersabda Rasulullah saw:
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali
asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing".
Bagaimana
tidak asing? Ketika semua manusia tidak menghiraukan waktu berjumpa
dengan al-Khaliq, Pencipta, malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk
menghadap-Nya sebanyak lima kali sehari. Bagaimana tidak asing? Ketika
semua manusia tidak mengendahkan halal dan haramnya makanan dan minuman
malah umat Islam mempunyai kewajipan untuk tidak memakan dan minum benda
haram.
Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia
tidak ambil kisah mengenai tutup aurat, malah umat Islam berkewajipan
untuk melakukannya. Bagaimana tidak asing? Ketika semua manusia tidak
mengambil peduli kedudukan hartanya sama ada diperoleh melalui riba mahu
pun tidak, umat Islam dilarang untuk menceburkan hartanya dalam lautan
darah riba. Bukankah itu satu keasingan?
Al-Banjari
menulis: "Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat
asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau
dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke
seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh ramai penduduk dunia.
Kemudian
Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada
pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada Islam berasa ganjil
dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan
Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.
Seorang
yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu
susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada
sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang,
tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang,
maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar, sedangkan orang
yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain
bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.
Faktor
Islam adalah penentu antara yang hak dan yang batil. Sepanjang sejarah
dakwah Islam selalu ada gerakan yang disebutkan al-Quran yang bermaksud:
"Dan mereka pula melarang orang ramai daripada mendengar al-Quran dan
mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan
perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala
bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat
kelak), sedang mereka tidak menyedarinya." (Surah al-An'am: 26)
Dalam
era dakwah zaman Rasulullah SAW, pemuka zalim Quraisy melakukan gerakan
di atas seperti kita baca daripada sebab diturunkan Surah al-An'am
sebanyak 165 ayat sekali gus dalam satu malam. 'Silent majority'
(majoriti senyap) penduduk Makkah sebenarnya tidak mendustakan Baginda
bahkan mahu menerimanya. Hatta, Abu Jahal pun sebenarnya membenarkan
kenabian baginda SAW seperti yang kita baca dalam kisah berikut dalam
Tafsir Ibnu Kathir.
Pada satu malam Abu Jahal sengaja
ingin mendengarkan bacaan al-Quran Rasulullah. Dia pergi secara senyap
ke rumah Rasulullah pada malam itu. Pada masa sama, Abu Sufyan dan
al-Akhnas bin Shuraiq juga melakukan perbuatan yang sama dan terjadilah
pengintaian rumah baginda bersama-sama pada malam itu tetapi satu sama
lain tidak menyedarinya.
Apabila Subuh hampir,
masing-masing meninggalkan tempat mengintai dan mereka akhirnya
bertembung dalam perjalanan pulang dan masing-masing saling bertanya
dari mana. Mereka menjawab dengan jujur datang dari mendengarkan bacaan
Muhammad.
Ini adalah perkara yang sangat berbahaya,
bagaimana boleh pemuka Quraisy dengan secara senyap mendengarkan bacaan
Muhammad. Jika diketahui masyarakat Quraisy pasti akan memicu keresahan
mereka. Akhirnya mereka bertiga berjanji untuk menyimpan rahsia mereka
dan tidak akan mengulanginya lagi.
Malangnya, kejadian
sama berulang selama dua malam berikutnya. Setelah beberapa hari berlalu
daripada malam terakhir kejadian mengendap itu, Al-Akhnas datang kepada
Abu Sufyan dan berkata: "Apa pendapatmu, wahai Abu Hanzalah mengenai
yang kamu dengar malam itu?" Abu Sufyan menjawab: "Demi Allah wahai Abu
Tha'labah, aku telah mendengar sesuatu yang pernah aku dengar dan
memahaminya dan aku juga telah mendengar sesuatu yang belum pernah aku
dengar dan tidak memahaminya." Al-Akhnas berkata: "Aku pun demikian."
Dia
juga pergi untuk berjumpa dengan Abu Jahal dan berkata kepadanya:
"Wahai Abu al-Hakam? Apa pendapatmu mengenai yang kamu dengar daripada
Muhammad pada malam itu?" Abu Jahal menjawab: "Kami berlumba-lumba
kedudukan selama ini menentang puak Abu Manaf, mereka memberi makan
(kepada jemaah haji), kami pun demikian; mereka memilik panji kebesaran,
kami pun demikian; mereka menjadi pemurah kami pun demikian. Tetapi
ketika kami berhadapan dengan mereka dan kami seperti penunggang kuda
yang perkasa kemudian mereka mendakwa bahawa mereka memiliki seorang
nabi, sedangkan kami tidak. Maka demi Allah, kami tidak akan
mempercayainya selama-lamanya." Al-Akhnas pun meninggalkan Abu Jahal
setelah mendengarkan apa yang dikatakannya. Dalam perang Badar, Abu
Jahal pernah mengaku kepada al-Akhnas bahawa Muhammad adalah benar dan
dia tidak pernah berbohong. Tetapi apalah guna pengakuannya seandainya
tidak dibuktikan dengan keimanan. Abu Jahal terbunuh dalam perang Badar
ini.
Kedegilan Abu Jahal untuk tidak menerima hakikat
kenabian Muhammad yang membawa faktor Islam dalam kehidupan masyarakat
Quraisy berpunca daripada sifat ego yang membabi buta sehingga tidak
mahu menerima kebenaran padahal seperti dikatakan al-Quran yang
bermaksud: "(maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka
bukan mendustakamu, tetapi orang zalim itu mengingkari ayat keterangan
Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata." (Surah al-An'am: 33)
Jika
kita hubungkaitkan kewujudan faktor Islam dalam masyarakat Quraisy pada
zaman Nabi dengan faktor Islam dalam masyarakat antarabangsa pada hari
ini, dilihat tidak jauh bezanya.
Wallahualam.
Sifat ego (Ananiah) manusia akan selalunya lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah cukup sempurna, sudah cukup bijak dan cukup pandai dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat, terlalu kecil dan kerdil dibandingkan dengan apa yang dia miliki..Terlalu sibuk dengan diri sendiri, terlalu sibuk mencanangkan sudah melakukan sesuatu, sudah memiliki itu, memiliki ini, sudah pergi kesana kesini, sudah tahu segalanya.. Sudah menjalani apa yang orang lain belum jalani..

Friday, 7 July 2017
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment